Terkini..
jagalah-kesihatan-emosi-dan-mental-sewaktu-dilanda-musim-covid-19
KUALA LUMPUR: Semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama memperkasakan diri dengan penjagaan kesihatan mental dan menangani stigma terhadap penyakit mental, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata kesihatan mental setiap orang boleh terkesan dengan pelbagai cara terutama dalam keadaan negara yang sedang bergelut mendepani cabaran pandemik COVID-19.
Justeru itu, katanya amat penting untuk masyarakat mempunyai pengetahuan bagi mengenal pasti gejala awal masalah kesihatan mental dan kemurungan agar bantuan dapat diberikan melalui program ‘Let’s TALK Minda Sihat’ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mulakan dengan bercakap dengan seseorang yang dipercayai iaitu T- Tell someone you trust about your problem (kongsi masalah dengan orang yang dipercayai); A- Ask for Help (Minta Bantuan); L- Listen without judgment (Dengar tanpa menghukum atau menghakimi) dan K- Know where to seek help (Tahu di mana untuk dapatkan bantuan).
“Jangan menstigmakan penyakit ini sebaliknya kita perlu membantu orang yang kita sayang atau orang sekeliling untuk tampil mendapatkan bantuan bagi permasalahan yang dihadapi,” katanya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Okt setiap tahun.
Beliau berkata KKM turut menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dan talian sokongan bagi membantu masyarakat termasuk petugas barisan hadapan yang memerlukan perkhidmatan bantuan awal psikologi.
Selain itu, beliau berkata KKM akan terus bekerjasama dengan agensi lain seperti Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY), KSK- Care JAKIM, Talian KASIH dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memastikan perkhidmatan sokongan psikososial yang bersepadu.

Tip penjagaan kesihatan mental semasa musim Covid-19

Ketahui fakta

Kebiasaannya otak mudah tertekan dan terganggu apabila menghadapi situasi yang tidak diketahui dan tak pasti seperti Covid-19.

Fakta diperlukan supaya otak boleh merancang, bersedia dan menyelesaikan masalah, namun perlulah merujuk sumber yang dipercayai serta tepat.

Tumpu kepada maklumat yang ingin diketahui untuk tindakan berikutnya

Atasi pemikiran negatif dengan memperoleh maklumat tepat untuk melakukan aktiviti berfaedah.

Buat senarai tugas kerana tindakan ini mampu membuatkan rasa lebih bertenaga dan selamat.

Rutin

Cara terbaik untuk kekal tenang dan berfokus ialah mengekalkan rutin harian seperti bersenam, makan, membaca buku dan tidur.

Aktiviti ini dapat mengelakkan kebosanan, keresahan dan berfikir secara berlebihan.

Menapis maklumat

Pilih maklumat yang berkualiti dan diperlukan saja bagi mengelakkan terdedah kepada maklumat tidak tepat yang akhirnya mengganggu emosi.

Hubungan sosial

Memperkukuhkan hubungan sosial dengan ahli keluarga dan rakan kerana ia dapat mengurangkan tekanan sekali gus meningkatkan tahap kesihatan.

Hubungan ini boleh dipereratkan menerusi panggilan telefon dan komunikasi menggunakan Internet.

Badan dan minda sihat

Tidur mencukupi, diet yang sihat dan senaman adalah penting untuk menguatkan sistem imun badan bagi menghalang tekanan dan gangguan kebimbangan.

Ketenangan

Melakukan aktiviti yang memberikan ketenangan sama ada menerusi senaman pernafasan, mendengar muzik, memasak, berkebun dan sebagainya kerana dapat mengurangkan tekanan serta berasa lebih tenang.

Sumber: Sinar  Harian

Similar Posts
WhatsApp chat