Cabaran-Utama-Yang-Usahawan-Hadapi-Dan-Bagaimana-Solusinya

Bila sudah bergelar usahawan, jangan anggap anda sudah berada di tahap yang selesa. Pasti akan ada cabaran yang anda perlu tempuhi. Bukan sahaja usahawan, malah pekerjaan apa sekalipun ada cabarannya yang tertentu. Inilah yang akan menentukan kredibiliti anda berada di tahap yang terbaik atau senaliknya. Namun, walau apa pun cabaran yang mendatang sudah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Cabaran utama usahawan yang sering mereka hadapi.

Cabaran kewangan

Kewangan merupakan cabaran utama yang seringkali dihadapi oleh usahawan. Masalah yang muncul berkenaan dengan kewangan adalah merangkumi pelbagai aspek. Antaranya adalah bajet tidak mencukupi, kerosakan mesin, masalah aliran tunai, pengurusan akaun tidak terkawal, masalah hutang, kos operasi, kos material dan kos-kos tambahan yang lain.

Oleh sebab itu, seseorang usahawan itu perlu menuntut ilmu berkenaan pengurusan kewangan dengan sebaiknya. Kalau perkara ini diabaikan, perniagaan anda tidak dapat bertahan lama. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Berikut antara cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah ini terjadi:

  1. Anda perlu lengkapkan diri anda dengan ilmu pengurusan kewangan dengan cukup. Jangan malu untuk menuntut ilmu biarpun anda sudah memililiki syarikat yang besar.
  2. Anda perlu pisahkan antara kewangan perniagaan anda dengan kewangan peribadi. Jangan gunakan duit perniagaan dengan duit anda sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
  3. Dapat bantuan dari mereka yang mahir tentang pengurusan kewangan.
  4. Setiap perniagaan perlu mengambil langkah membina tabung kecemasan atau dana, geran dan juga pembiayaan yang disediakan untuk usahawan di Malaysia.

Cabaran persaingan

Budaya bersaing secara tidak sihat perlu dielakkan kerana ianya hanya akan membawa kemudaratan buat perniagaan yang telah anda bina. Bukan itu sahaja, imej anda sebagai seorang usahawan juga akan tercalar. Ia memberi tanggapan yang buruk terhadap semua kakitangan, jadi fikir sebelum lakukan.

Bagaimana nak pastikan perniagaan anda sentiasa mendapat tempat di hati pengguna

  • Amalkan persaingan secara sihat. Gunakan ia sebagai satu peluang untuk anda lebih mengenali dan bekerjasama dengan kakitangan untuk memikirkan sesuatu jalan penyelesaian.
  • Buat strategi pemasaran yang betul. Anda perlu tahu siapa sasaran anda dan lakukan pemasaran dengan baiknya. Fokus kepada kualiti. Pelanggan akan lebih tertarik pada barangan atau perkhidmatan yang membawa banyak manfaat dan kelebihan.
  • Mantapkan brand perniagaan anda. Anda perlu mencari USP iaitu (Unique Selling Point) brand anda sendiri. Itu adalah kunci untuk serlahkan perniagaan anda di mata masyarakat.

Cabaran emosi dan motivasi.

Usahawan juga sama seperti manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan. Terutama mereka berdepan dengan pelbagai cabaran. Walaupun diri mereka sudah diajar tentang semangat yang tinggi dan sikap profesional, adakalanya mereka juga pernah alami perasaan sedih, marah, risau dan sebagainya dari masa ke semasa.

Bagaimana nak hadapi masalah emosi ini

Ambil masa untuk tenangkan fikiran secara sendirian.

Kosongkan minda anda buat seketika waktu. Pada masa ini, ingat kembali apakah tujuan dan juga kenapa anda melakukan perniagaan. Fikirkan tentang matlamat yang anda ingin capai dengan perniagaan anda. Paling penting, ingat kembali perjalanan yang pernah anda lalui untuk capai ke tahap anda yang sekarang.

Luangkan masa bersama keluarga

Luangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan mampu menimbulkan perasaan gembira. Buat aktiviti yang anda minat bersama keluarga.

Hadir ke kelas usahawan dan seminar perniagaan.

Kelas dan seminar keusahawanan amat membantu para usahawan dan peniaga untuk membina motivasi dan tingkatkan tenaga ke tahap maksimum. Apatah lagi jika kelas itu dihadiri oleh ramai individu berjaya. Lagi banyak aura positif dan semangat yang boleh diperolehi bersama.

Oleh sebab itu, kita dapat lihat ramai usahawan di luar sana sentiasa menghadirkan diri ke seminar-seminar yang dilangsungkan. Ia mampu memberikan manfaat buat para peniaga. Di samping memperolehbilmu, dapat juga lepaskan tekanan dan berjumpa rakan-rakan perniagaan baru.

Cabaran sistem

Perniagaan yang berjaya dan berkembang maju adalah perniagaan yang sistematik. Ada 2 faktor utama yang mendorong perniagaan ke arah sistematik, antaranya:

Sistem Pengurusan Dalaman

Pengurusan dalaman yang terdiri daripada pekerja syarikat, kewangan syarikat, dokumen syarikat, lokasi sesebuah syarikat dan lain-lain yang berkaitan. Malah banyak masalah yang akan timbul antaranya pekerja yang bemasalah, dokumen syarikat tersebar, seleweng duit syarikat dan bermacam-macam lagi yang tidak diduga boleh terjadi.

Sistem Jaringan (Networking)

Sistem jaringan merupakan faktor luaran yang perlu diberikan perhatian. Sama sahaja konsepnya dengan sistem pengurusan dalaman. Networking sangat penting kerana tidak ada perusahaan yang boleh bertahan tanpa sokongan yang sistematik.

Sistem jaringan networking adalah di mana mereka yang terdiri daripada pembekal, rakan kongsi, pemborong dan lain-lain. Tanpa mereka, perniagaan sukar untuk beroperasi.

Untuk memastikan anda boleh menghadapi cabaran sistem ini, anda perlulah:

  • Mencipta sistem pengurusan dalaman syarikat yang lebih teratur mengikut kepakaran masing-masing. Pastikan sistem itu mudah untuk diikuti.
  • Anda juga perlu memastikan pengurusan kewangan syarikat anda lebih sistematik.
  • Luaskan pandangan dan bina jalinan dengan usahawan-usahawan lain agar dapat saling berkongsi ilmu dan info berguna berkenaan pembekal, pemborong dan lain-lain.

Masalah Jangkaan Sosial.

Kejayaan boleh dicapai oleh kedua-dua jantina, tidak kira dalam sektor apa sekalipun. Tidak ada faktor yang membataskan seseorang individu untuk mencapai impiannya. Asalkan ia boleh membawa manfaat. Sama juga dalam peniaga, usahawan banyak memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara khususnya di Malaysia. Jadi, tidak ada istilah tidak boleh untuk wanita. Tukar stigma dan pemikiran yang singkat itu. Masalah boleh diselesaikan dan tidak akan berlarutan jika para usahawan wanita bijak menanganinya.

Caranya adalah dengan:

  1. Berani mencuba dan berdepan dengan segala masalah yang berlaku untuk membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya.
  2. Sentiasa menuntut ilmu tentang perniagaan bersama mereka yang telah berjaya.
  3. Jalinkan hubungan yang baik bersama rakan usahawan yang lain agar anda lebih terdedah dengan realiti usahawn sebenar.

Anda harus ingat, tanpa ujian dan cabaran anda tidak akan menjadi insan yang cekal seperti sekarang. Semoga dengan perkongsian ini dapat memberikan anda sedikit gambaran dan informasi yang berguna. Selamat maju jaya para peniaga dan usahawan semua.

Similar Posts